Isnin, 24 November 2025

Ada ride yang kita teruskan, dan ada ride yang kita tak sempat teruskan

Hari Jumaat lepas, aku sempat berbual dengan rakan satu batch waktu belajar dulu Mohan. Kami duduk berbincang tentang kes-kes respon ambulans dan pengalaman praktikal dahulu, zaman mula-mula kami belajar memahami erti “dalam kecemasan, setiap saat itu bermakna”.

Masa tu Mohan mula buka cerita tentang insiden praktikal mereka di Klinik Kesihatan Bagan Datuk sekitar tahun 2004–2005. Kawasan tu masih gelap, jalan sempit dan suasana sunyi. Dalam perjalanan balik dari kedai minum, Mohan dan Tigilan terserempak dengan satu kemalangan dua motosikal bertembung, satu kejadian yang sampai hari ini masih sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Mangsa pertama merupakan rakan sekelas kami sendiri arwah Amir. Dia meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Mangsa kedua… sahabat paling rapat dengan aku arwah Ariff Zajuli. Dia tercampak lebih kurang tujuh meter dari lokasi rempuhan. Walaupun cedera, dia masih sedar. Kata Mohan, arwah sempat bersuara perlahan:
“Mohan… tolong aku… perut aku sakit…”

Masa Mohan cerita semula, aku hanya diam. Tapi dalam hati, Allahu… bergenang air mata aku. Sebab aku masih boleh bayangkan suara Ariff waktu itu. Boleh rasa bagaimana dia cuba bertahan. Mohan dan Tigilan hubungi ambulans dari KK Sungai Selekoh (atau KK Bagan Datuk ketika itu). Sewaktu tiba di Hospital Teluk Intan, pegawai bertugas meminta Mohan dan Tigilan masuk bersama. Tapi Mohan hanya jawab, dengan suara yang hampir tersekat:
“Mana mungkin… itu rakan kami.”

Menurut Mohan, mereka cuba nampak kuat di depan orang lain, tapi sebenarnya jiwa mereka ketika itu hancur. Aku dengar cerita tu dengan penuh teliti… sambil menahan perasaan. Dan dalam hati aku hanya terdetik, “Aku rindu kau, Ariff.”

Dulu semasa belajar, aku selalu sakat dia:
“Rep, kau ni baik sangat… nanti kalau aku kahwin, kau pengapit aku ya.”
Dan seperti biasa, dia akan ketawa. Ringkas, tapi ikhlas. Gelak itu masih aku dengar dalam ingatan.

Al-Fatihah untuk sahabat aku, arwah Ariff Zajuli. Terima kasih rep, atas segala memori kita masa belajar dulu. Kau mungkin sudah tamat ride kau… tapi dalam setiap perjalanan aku hari ini, ada bahagian dari kau yang masih ikut sama.

Sesungguhnya… ada ride yang kita teruskan, dan ada ride yang kita tak sempat teruskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

RideWithMFI | Betong – Rehat, Jumaat & Doa Musafir (Part 2) 30 Januari 2026 “Dalam musafir ini, bukan sekadar jalan yang jauh… tapi...