Bahagian 20 Hat Yai, Bandar Mini Malaysia
“Tanpa pelancong dari Malaysia, Hat Yai tidak akan semeriah ini,” kata seorang pemandu Grab ketika kami berbual di dalam keretanya. Katanya lagi, hampir 60 hingga 70 peratus pelancong di sini datang dari Malaysia, selebihnya dari Singapura dan China. Tidak hairanlah bandar ini digelar Bandar Mini Malaysia.
Kami tiba di guesthouse sekitar jam 3.59 petang waktu Thai. Badan terasa penat selepas perjalanan panjang, dan kami segera berehat serta menyelesaikan urusan daftar masuk. Namun sebelum tiba di hotel, beberapa insiden sempat mencemaskan kami di jalan raya.
Pertama, aku hampir dilanggar oleh seekor anjing gila yang tiba-tiba mahu melintas jalan. Jantung terasa seolah-olah berhenti seketika. Aku segera menekan brek depan dan belakang, terasa tayar belakang mula mengunci. Alhamdulillah, tayar PR6 berfungsi dengan baik dan aku berjaya mengawal motosikal tanpa sebarang kemalangan.
Kedua, motosikal Izu mengalami masalah apabila volt meter semakin menurun. Aku terus menegur Izu dan mencadangkan supaya dia menghantar motosikalnya ke bengkel. Izu hanya mengangguk dan kami sepakat untuk berehat dahulu sebelum ke sana.
Pada sebelah malam, kami keluar ke Hat Yai Night Bazaar tempat yang penuh dengan warna, bau makanan jalanan, dan deretan pakaian serta cenderamata. Kami membeli beberapa barangan untuk buah hati masing-masing. Suasananya seperti di “Downtown” meriah, mesra dan sibuk dengan pelancong dari pelbagai negara.
Keesokan paginya, kami ke Kim Yong Market untuk membeli kacang, buah kering dan ole-ole buat keluarga di Malaysia. Sebelum pulang, kami singgah di sebuah gerai nasi Khao Mok memang benar kata orang, yang tidak viral itulah biasanya lebih sedap.
Sementara menunggu Izu mengambil motosikalnya dari bengkel, aku dan Lan sempat mencuci motor di sebuah kedai di Hat Yai. Cajnya sekitar 350 Baht agak berbaloi dengan hasilnya, walaupun masa menunggu hampir dua jam. Setelah selesai, kami menuju ke Sadao dan singgah sebentar di kedai makan popular yang sering menjadi persinggahan para rider. Lan juga sempat ke 7-Eleven membeli burger untuk keluarganya.
Akhirnya, kami menghampiri sempadan Thailand–Malaysia. Perjalanan panjang ini hampir ke penghujungnya. Banyak kisah, pengalaman, dan kenangan yang kami bawa pulang bukan sekadar dari jalan yang dilalui, tetapi dari persahabatan dan semangat yang terjalin sepanjang perjalanan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan