Bahagian 21 Perjalanan Pulang: Sempadan Thailand ke Malaysia
Subhanallah, Alhamdulillah. Kami akhirnya menuju ke sempadan Thailand untuk perjalanan pulang. Setelah selesai urusan di imigresen Thailand dan mendapat cop keluar, kami ke kaunter kastam untuk menyerahkan borang di kaunter 8 borang yang katanya boleh menyebabkan denda 10,000 Baht jika gagal dipulangkan. Fuh, jumlah yang besar juga, hampir RM1,300!
Usai urusan di sana, kami bergerak ke imigresen Malaysia. Kali ini suasana tidak sesak, mungkin kerana hari Isnin. Selesai semua urusan, kami menghela nafas lega “Welcome back to tanah tumpahnya darahku, Malaysia.” Syukur, perjalanan panjang ini hampir sampai ke penamatnya.
Kami singgah sebentar di stesen BHP untuk membeli air dan menambah minyak. Cuaca siang itu agak panas, namun perjalanan tetap diteruskan dengan kelajuan malar kadang kala melebihi sedikit dari biasa, tapi dengan langkah berjaga-jaga. Aku sering memerhati pemandu lori dan bas yang menukar lorong dengan pantas, namun mengambil masa lama untuk kembali ke laluan asal. Kadang-kadang terasa seperti sengaja melengah-lengahkan kami di belakang.
Aku teringat pepatah lama, “Jangan biarkan orang memaki atau menyumpah kita, kerana jika genap 40 orang melakukannya, doa mereka boleh menjadi nyata.” Semoga para pemandu yang cuai diberikan kesedaran agar tidak membahayakan orang lain di jalan raya.
Setelah melepasi kawasan Pulau Pinang, trafik semakin sesak mungkin kerana ramai baru pulang dari kerja. Kami akhirnya terpisah di lebuh raya. Rancangan asal untuk berhenti di Taiping tidak kesampaian kerana tiada stesen minyak berdekatan. Kami meneruskan perjalanan dan menunggu Lan di hentian rehat berikutnya.
Di R&R Sungai Buloh, kami akhirnya berkumpul semula. Lan muncul sambil ketawa, katanya baju hujan dia tercicir di tengah jalan berhampiran Sungai Perak! Dia sempat berhenti dan beritahu penjaga tol di situ supaya mengambil baju hujan tersebut. Katanya, tak mengapalah “biarlah tinggal di sana.” Kami semua tergelak besar mendengar kisah itu.
Di situlah titik terakhir ride kami untuk Krabi 2025. Kami bersalaman, saling memohon maaf dan halalkan segala makan minum sepanjang perjalanan. Dalam hati, aku berdoa agar persahabatan ini terus kekal, dan semoga next ride Koh Lanta 2026 akan menjadi kenyataan, insya-Allah.
“See you again,” aku menulis sambil tersenyum. Catatan ini mungkin akan disambung lagi kisah kecil tentang persiapan motosikal sebelum long ride seterusnya, khas buat Izu si abang long, dan Lan si adik bongsu. Terima kasih atas kenangan yang tidak ternilai. Mohon maaf atas segala kekurangan sepanjang di bumi Siam. Semoga kita terus menulis kisah di atas jalan raya
bersama lagi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan