Bahagian 5: Permatang Pauh, Rabak Mata & Mesin Kopi Rosak
Rabak wehhh mata, mengantuk tak tahan. Jarak masih jauh, minyak pun dah nak habis. “Keep rolling,” kata Lan dalam interkom, suara dia kedengaran perlahan sebab masing-masing dah letih. Tepat pukul 2.54 pagi, 24 Oktober 2025, kami singgah di Caltex Permatang Pauh, kawasan Kampung Sama Gagah kalau ikut peta.
Niatnya nak isi minyak je, tapi boleh pula jadi lawak. Ada notis besar tertampal dekat pam: “Untuk Budi, sila ke kaunter.” Terkejut kami baca ingatkan pam rosak. Biasanya tap kad, isi jumlah, masuk IC, settle. Mungkin mesin kat sini belum dikemas kini lagi. Tak kisahlah, janji boleh isi. Kami gelak kecil sambil tunggu giliran, badan pun dah lesu.
Lepas isi minyak, perut pula berkeroncong. Nampak satu kedai segera masih buka, kami pun singgah nak cari kopi panas. Tapi nasib tak menyebelahi malam tu. “Kopi takde, mesin cuci katanya,” ujar abang kaunter dengan senyum malu. Kami pandang sesama sendiri, tergelak kecil. Sejuk wehh tangan dah beku macam nak kena hypothermia dah. Akhirnya layan je la apa air yang ada dalam peti sejuk janji ada caffeine sikit untuk lawan mengantuk.
Sembang sambil cuci muka, lap mata yang semakin merah. Izu dah buka telefon semak penginapan. “Aku dah booking homestay,” katanya. Harga pun boleh tahan, dalam RM180 ke RM280 semalam. Aku sempat menyampuk, “Untuk lelap je pun, mahal jugak.” Tapi Izu balas, “Kita nak tidur, mandi, solat dalam tu. Janji selesa.” Aku angguk je, betul juga kata dia.
Penginapan kali ni semua dah diatur elok oleh Izu homestay di Changlun dan satu lagi di Hatyai. Untuk bahagian Krabi nanti, aku dan Lan kongsi bilik dua malam. Janji ada tempat lepak dan rehat, sebab perjalanan masih panjang dan badan pun dah mula rasa kebas. Dalam hati, rasa lega sebab semua urusan dah tersusun. Tinggal nak teruskan ride dengan tenang sampai sempadan.
Malam makin senyap. Kami bersandar sekejap dekat motor masing-masing, pandang langit yang gelap tanpa bintang. Angin subuh mula terasa, tanda masa untuk sambung perjalanan dah dekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan