Bahagian 6: Menuju Subuh Ke Sempadan
Rabak memang rabak, memang gila weh. Dah usia macam ni nak ride macam orang muda, memang lain macam rasanya. Tapi Alhamdulillah, Allah masih bagi kesihatan untuk kami teruskan perjalanan. Meredah cuaca hujan renyai yang sekejap berhenti, sekejap turun balik, kami terus juga walau badan dah mula rasa lenguh dan basah. Bontot pun dah rasa macam petak duduk atas pelana terlalu lama.
Sesekali aku tukar lampu rendah ke lampu tinggi sebab jalan makin gelap. Ada juga van berdaftar dari Thai yang lalu laju mencelah, jadi aku ke tepi beri laluan. Lan sempat roger dalam interkom, “Daus, sila berhenti kalau nampak tempat rehat. Boleh buang air dan minum sikit.” Aku angguk, walaupun dia tak nampak, sekadar balas dengan “roger” kecil sambil fokus pada jalan yang panjang di depan.
Perjalanan makin senyap, hanya bunyi deruan tayar dan renyai hujan menemani. Akhirnya, kami tiba di Hutan Kampung Toll Plaza. Kami berhenti sekejap, lega dapat turun dari motor. Sempat la buang air dan beli air panas Nescafe. Fuhh, memang syahdu saat hirupan pertama tu terus rasa segar biji mata. “Alhamdulillah,” aku sebut perlahan, bersyukur dapat rasa nikmat kecil di tengah perjalanan jauh ni.
Kami duduk di tepi motor, minum sambil pandang langit yang dah mula cerah sedikit di ufuk timur. Angin pagi menyapa lembut, menyejukkan wajah yang dah kering separuh. “Minum, rehat jap, lepas ni atas motor balik,” aku cakap perlahan sambil senyum. Jauh lagi jalan nak diharung, tapi dalam hati cuma ada satu rasa puas dan tenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan