Isnin, 3 November 2025

Bahagian 3: RNR Tapah, Kopi, Kabus & Gelak Tengah Malam

Hujan renyai-renyai menemani sepanjang jalan. Kadang-kadang kabus tebal buatkan penglihatan jadi terbatas, terutama bila masuk kawasan gelap. Sekali-sekala aku buka fog light kuning, sekadar bantu mata pandang jauh sikit. Jalan masih basah, hawa sejuk mula menggigit jari walau sarung tangan dah tebal.

Jam menunjukkan 12.20 malam bila kami akhirnya sampai di Petronas RNR Tapah. Lampu stesen minyak tu jadi penyambut malam kami yang sunyi. Rehat sebentar, hirup kopi panas, dan gelak sakan sambil usik-usik hal interkom yang dari tadi tak berjaya nak “pair” dengan aku punya. Entah kenapa model aku ni degil betul malam ni.

Nasib baik ada plan B, interkom isteri Lan yang dia bawa sebagai backup. “Ha, dah aku cakap pakai je interkom Ila tu!” lan ulang sambil ketawa besar. Bila sambung je, akhirnya berjaya juga kami sembang sepanjang jalan. Hilang terus rasa bosan dan sunyi.

Kopi panas memang jadi penyelamat malam tu. Telan je rasa segar terus naik semula. Badan yang sejuk kena hujan tadi mula rasa hangat balik. Dari situ, topik sembang tak berhenti, pasal tayar la, lampu la, sampai ke kasut pun jadi bahan. Ada yang banding tayar baru dengan lama, ada yang bercerita pasal grip masa hujan dan macam biasa Lan tetap paling kuat menyakat.

Gelak kami berselang-seli dengan bunyi hujan menitis di atap RNR. Roti Gardenia dikunyah perlahan sambil masing-masing pandang motor yang berkilat basah di bawah cahaya lampu kuning. Waktu macam ni, nikmatnya bukan pada jarak yang jauh, tapi pada suasana; hujan, kopi panas, dan kawan-kawan sekepala yang buat ride jadi penuh cerita.

Tak lama lepas tu, kami bersiap semula. Helmet disarung, visor dilap, dan bunyi enjin mula hidup satu demi satu. Tiba-tiba kedengaran suara Lan di interkom, nada penuh gaya:

Lan: “Hello, hello Daus… masuk… masuk…”

Aku: “Mecc… mecc… dari Medic 9, lapor, over!”

Terus meletup gelak dalam interkom. Malam makin sunyi, tapi suasana ride kami tetap meriah. Antara bunyi angin, deruan tayar atas jalan basah dan gurau tawa geng, itulah momen yang buat setiap kilometer terasa berbaloi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

RideWithMFI | Betong – Rehat, Jumaat & Doa Musafir (Part 2) 30 Januari 2026 “Dalam musafir ini, bukan sekadar jalan yang jauh… tapi...