Isnin, 3 November 2025

Bahagian 4: Redah Kegelapan, Kabus & Hujan Renyai

Lepas keluar dari Tapah, perjalanan makin mencabar. Kegelapan malam diselubungi kabus tebal dan hujan renyai yang seolah-olah tak mahu berhenti. Angin malam mencucuk kulit, sejuk sampai terasa ke jari walau sarung tangan dah tebal. Kami teruskan juga, pelan-pelan kayuh janji sampai.

Lan masih dengan perangai biasa, tak pernah sunyi dengan gurauan. Setiap kali aku senyap sikit, mesti dia datang dengan nada mengusik dalam interkom. “Daus ni diam je, ngantuk ke?” katanya sambil ketawa. Aku balas, “Belum bro, tengah cari dopamin dalam kabus ni.” Kami sama-sama ketawa, hilang terus rasa sejuk dan mengantuk.

Laluan selepas Tapah menuju ke arah Terowong Menora memang lain macam. Jalan mula mendaki, kiri kanan hanya nampak bayang pokok besar dan cahaya lampu motor sendiri. Setiap kali masuk selekoh, pantulan lampu kabus kuning buat suasana nampak macam filem seram tapi tenang. Hujan masih renyai, wiper visor pun dah tak menang lap.

Masuk bahagian Terowong Menora, suasana berubah sekejap. Dari gelap pekat ke cahaya terang kuning keemasan di dalam terowong, bunyi ekzos bergema panjang, seolah-olah motor semua bersuara serentak. Tapi dalam hati, tetap ada rasa seram sikit mungkin sebab pernah dengar macam-macam kisah tentang terowong ni. Aku cepat-cepat fokus pada jalan dan doa dalam hati, “Ya Allah, bagi kami lalui dengan selamat.”

Keluar saja dari Menora, hujan kembali menyambut kami. Jalan menurun panjang, jadi aku kurangkan kelajuan. Angin kuat, kabus nipis masih berlegar. Dalam kepala, sempat juga teringat benda-benda seram yang orang selalu cerita pasal kawasan ni. Lagi-lagi Menora Hill ni memang terkenal seluruh Malaysia kalau laju sikit, siap la, AES RM300 jawabnya. Tak balik modal langsung!

Sambil tu, teringat juga kisah Volkswagen kuning yang katanya muncul dekat kawasan ni. Fuh, seriau juga bila terlintas. Naik bulu roma weh! Tapi bila dengar suara Lan dan Izu dah makin jauh kat depan, terus hilang rasa seram tu, ganti dengan semangat nak kejar balik. “Layan je la ride ni,” aku cakap sorang-sorang sambil senyum di balik helmet.

Kami teruskan menuju ke Sungai Dua destinasi pit stop seterusnya untuk isi minyak dan rehat sekejap. Dalam kepala cuma satu, sampai dengan selamat walau perlahan. Setiap kilometer terasa panjang, tapi itulah nikmatnya ride malam antara sejuk, kabus, hujan dan tawa kawan-kawan, semuanya jadi kenangan yang susah nak lupa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

RideWithMFI | Betong – Rehat, Jumaat & Doa Musafir (Part 2) 30 Januari 2026 “Dalam musafir ini, bukan sekadar jalan yang jauh… tapi...