Rabu, 5 November 2025

Bahagian 17 Misteri Highway 44 Tamat di Ao Nang

Siap mandi air panas, kami turun ke bawah lapar beb! Perut dah berkeroncong dari petang tadi. Tapi semangat dan usikan “hantu Siam” langsung tak kacau kepala kami malam tu. Sampai je kedai bawah hotel, kami disambut oleh mek Patani yang comel senyum manis, “Abe makan apa abe?” katanya dengan loghat selamba yang buat kami bertiga tergelak kecil.

Kami pun terus pesan nasi putih, tomyam udang, ikan siakap stim limau, sayur campur, telur dadar… pendek kata, semua keluar atas meja. “Makan weh, jangan tinggal,” aku cakap sambil gelak. Lapar punya pasal, masing-masing tak toleh kiri kanan. Suasana tenang, cuma bunyi hujan renyai di luar dan muzik Thai perlahan jadi latar makan malam kami.

Tengah makan, kami mula cerita balik apa yang jadi malam tadi. Rupanya kami memang merentas hutan tebal sepanjang Highway 44 tu sekitar pukul 7 malam waktu Thailand lebih kurang 8 malam waktu Malaysia. Izu buka cerita dulu, “Wehh, seram aku tunggu kat simpang lepas potong lori panjang tu, dah gelap, sejuk, sunyi… lama gila korang tak muncul,” katanya sambil geleng kepala.

Aku jawab, “Memang tak boleh potong weh, kon kiri kanan, jalan dua hala. Kalau salah potong, habis.” Semua angguk setuju. Tapi tiba-tiba Lan buka cerita yang buat kami terus senyap “Ko nampak tak kenapa aku laju sangat potong korang tadi?” Aku pandang dia, “Kenapa weh?” Lan tarik nafas, suara dia perlahan, “Aku nampak benda putih melayang… dari depan jalan tu naik ke atas. Lalu depan aku.”

Kami semua terus terdiam. Meremang weh. Aku rasa bulu tengkuk berdiri masa tu. Izu terus tunduk, “Entah apa la yang kita langgar tadi…” katanya perlahan. Kami semua pandang satu sama lain, masing-masing cuba buat lawak nak hilangkan rasa seram, tapi dalam hati memang terasa lain macam.

Malam tu kami tidur sekatil walaupun bilik ada dua. Bukan sebab takut sangat tapi sebab dah penat gila. Baju semua basah, badan lesu, kepala berat. Lampu bilik kami biar terbuka, hujan gerimis masih kedengaran di luar. Maklumlah… musim low season, Ao Nang sunyi dan kami baru lepas melalui malam paling misteri dalam hidup kami di Highway 44.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

RideWithMFI | Betong – Rehat, Jumaat & Doa Musafir (Part 2) 30 Januari 2026 “Dalam musafir ini, bukan sekadar jalan yang jauh… tapi...